Bismillah walhamdulillah
Kemenangan demi kemenangan yang diperoleh oleh Nabi Muhammad dan tentera Islam dalam peperangan menjadikan umat islam bertambah ramai dan kuat. Kejayaan dalam peperangan yang dicapai membuatkan orang bukan islam semakin takut. Ada antara mereka lari menyembunyikan diri ke negeri yang berhanpiran dan di celah-celah bukit.
Dengan bantuan Allah, akhirnya Nabi Muhammad kembali ke Mekah selepas berhijrah ke Madinah. Kepulangan beliau dan orang islam yang lain dinamakan sebagai Fathul Mekah iaitu pembukaan Mekah.
Orang Mekah yang turut bersama Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman mereka sendiri. Mereka cukup gembira dan bersemangat sambil melaung-laungkan nama Allah beramai-ramai. Keadaan ini membuatkan orang Quraisy yang dahulunya menghina dan menyeksa mereka takut dan mendiamkan diri. Kini,orang islam tidak perlu lagi takut hendak mengakui keislaman mereka.


Kepulangan yang menggerunkan itu diketuai oleh Panglima Khalid al-Walid. Khalid berada di barisan paling hadapan sambil memegang bendera yang diberi nama al-Uqab. Bendera yang ditiup angin kencang itu berkibar-kibar megah. Ia sekaligus menaikkkan semangat orang islam.
Seorang pembesar Quraisy yang dahulunya bertindak kejam ke atas pengikut Nabi Muhammad melarikan diri dan bersembunyi di celah-celah bukit. Safwan bin Umaiyah namanya. Beliau membenci Nabi. Banyak perbuatan dan kelakuannya yang menghina Nabi sebelum ini, tetapi hari ini beliau takut dan hampir-hampir membunuh diri kerana bimbang akan ditangkap dan dibunuh oleh Nabi.
Safwan mempunyai saudara sepupu yang sudah memeluk islam. Namanya Umair bin Wahab. Semasa hendak melarikan diri dengan menyamar sebagai orang biasa, Safwan berselisih dengan Umair. Umair yang mengenali susuk tubuh Safwan lalu menegurnya.
” Kemana saudara hendak pergi, wahai sepupuku? ” tanya Umair.
“Jangan….jangan bunuh saya!” jerit Safwan sambil terus melarikan diri di celah-celah orang ramai.
” Kemari, wahai Safwan. Kami tidak akan membunuh saudara,” kata Umair sambil terus mengejar Safwan yang berlari pantas seperti orang dalam ketakutan dikejar singa yang lapar.
“Biar saya bunuh diri saja,” kata Safwan dalam kepenatan.
Mendengar Safwan yang ingin membunuh diri, Umair berlari semula mendapatkan Nabi Muhammad bagi memberitahu kejadian itu.
“Wahai Kekasih Allah, Safwan, sepupu saya adalah pembesar Quraisy. Beliau lari dan ingin membunuh diri kerana takut pada kekuatan kita. Saya mohon supaya diberi kebebasan kepadanya seperti yang tuan sudah berikan kepada tawanan perang Ahmar dan Aswad,” kata Umair.
“Pangillah beliau ke mari, wahai Umair. Saya akan berikan keamanan dan kebebasan kepada beliau,” jawab Nabi Muhammad.
“Beliau dalam ketakutan, wahai Nabi.Oleh itu, berikan sesuatu sebagai tanda jaminan yang tuan sudah memaafkannya,” Umair memohon pertimbangan.
“Ambil ini sebagai tanda jaminan saya,” kata Nabi sambil menghulurkan serban iaitu sehelai kain yang dililit dikepalanya kepada Umair.
“Terima kasih, wahai Kekasih Allah,” kata Umair sambil menyambut serban itu.
Umair berlari pantas mendapatkan Safwan. Beliau kebingungan. Safwan sudah tidak ada di tempat yang ditemuinya sebelum ini.
” Kemana pula perginya Safwan ni?” kata Umair dalam hari.
“Adakah beliau sudah membunuh diri?” Umair semakin resah.
Uamir terus berlari ke arah bukit. Dari atas bukit itu, Umair menjerit kuat.
“Safwan! Ketahuilah! Nabi Muhammad tidak akan membunuh saudara!”
“Safwan!”
“Safwan!”
Umair semakin bingung dan gelisah. Tiba-tiba Umair rasa seperti ada orang yang sedang memerhatikannya di celah-celah bukit. Umair terus menghampiri orang itu.
“Jangan saudara datang dekat, Umair,” tiba-tiba Safwan bersuara.
” Biar saya bunuh diri sahaja,” kata Safwan putus asa.
“Wahai Safwan, saya datang daripada orang yang paling mulia dan paling baik akhlaknya bagi memberikan saudara kebebasan,” Umair memujuk Safwan.
” S…Saya… takut dibunuh Muhammad,” kata Safwan terketar-ketar.
“Jangan bimbang wahai Safwan. Nabi Muhammad sudah memaafkan saudara.”
“Apa jaminan saudara yang Muhammad sudah memaafkan saya?”
“Ini, ” Umair menunjukkan serban Nabi Muhammad.
“Ini serban yang dipakai oleh Muhammad yang mulia sebagai jaminan saudara sudah dibebaskan,” kata Umair sambil menghulurkan serban Nabi kepada Safwan. Safwan tergamam seketika.
“Begitu mulianya akhlak Muhammad sehingga sanggup menanggalkan serbannya semata-mata menjamin kebebasan saya,” Safwan terharu.
Akhirnya, Safwan bersetuju mengikut Umair berjumpa Nabi. Namun beliau masih ragu-ragu. Bimbang Umair menipunya dan beliau akan dibunuh. Selepas sampai di hadapan Nabi, Umair pun memperkenalkan Safwan.

“Ini Safwan bin Umaiyah, wahai Kekasih Allah,” kata Umair hormat.
“Ke mari, wahai Safwan,” kata Nabi Muhammad.
Safwan terketar-ketar sambil berjalan menghadap Nabi. Ketakutan kian memuncak. Badannya menggeletar.
“A…Adakah… saudara akan memberikan saya keamanan dan kebebasan, wahai Muhammad?” tanya Safwan.
“Benar,” jawab Nabi Muhammad.
“Terima kasih,Muhammad,” kata Safwan juga.
“Berikan saya tempoh selama 2 bulan sebelum saya bersetuju mengikut ajaran saudara,wahai Muhammad,” Safwan semakin tenang.
” Bahkan 4 bulan, wahai Safwan,” jawab Nabi Muhammad.
Melihatkan akhlak mulia yang dipamerkan oleh Nabi Muhammad, akhirnya Safwan yang dahulunya bengis, zalim dan kejam mengucapkan pengakuannya bersaksikan yang Allah itu Tuhannya dan Muhammad itu pesuruh Allah. Safwan gembira dan tenang bersama islam. Malah, beliau turut berperang bersama Nabi dan tentera isalm yang lain bagi mendaulatkan agama Allah.
Walaupun Nabi mempunyai kuasa dan pengaruh apabila kembali ke Mekah,namun baginda tidak sombong dan angkuh. Baginda tidak berdendam pada orang yang menghina baginda walaupun satu masa dahulu baginda dihina dan pengikutnya disiksa malah orang yang menyeksa mereka dibebaskan. Akhlak Nabi Muhammad yang mulia menyebabkan ramai kaum Quraisy Mekah secara rela memeluk islam tanpa dipaksa.
Inilah akhlak islam yang sebenar.
Bagaimana pula dengan kita?