Wednesday, September 8, 2010

yang tersirat di sebalik selawat

Posted by dzatun nithaqain On February - 26 - 2010 ADD COMMENTS

Bismillah walhamdulillah

normal_masjid-nabawi47

Tanpa dijadualkan, Subuh tadi saya dipelawa mendadak oleh Tuan Imam untuk memberi tazkirah seusai solat. Saya terima sebagai satu amanah daripada orang tua yang sangat saya hormati. Cuma lebih kurang 15 ke 20 minit. Dan ahli jemaah pagi itu lebih kurang 2 saf sahaja.

Berbicara secara santai untuk mengingatkan diri sendiri disamping mengingatkan orang lain dalam majlis yang kurang “glamour” begitu terasa lebih tenang dan harmoni. Saya rindukan suasana yang sebegitu sebenarnya. Tidak ada karenah birokrasi, ganjaran serta protokol itu dan ini, aliran kasih sayang dan ukhwah terasa lebih murni dan sejati.

Namun, setelah tamat, saya rasa masih banyak yang ingin saya kongsikan bersama saudara dan sahabat serta kenalan.  Lalu di pagi yang penuh barakah – Hari Jumaat, Maulidur Rasul ini saya ingin kongsikan sebuah tulisan, bersamaan kedatangan Maulidur Rasul ini. Terimalah… YANG TERSIRAT DI SEBALIK SELAWAT.

Bila kita kenal sesuatu yang indah, baik dan benar, kita akan jatuh cinta. Bila sudah cinta, kita banyak mengingat apa yang kita cintai itu. Dan bila kita banyak mengingat, pasti banyak pula kita menyebutnya… Kata orang tua dahulu,  bila hati teringat, mulut akan menyebut!

Jadi, tanda cinta kita kepada sesuatu, banyaklah kita menyebut-nyebutnya. Dan begitulah kitaran cinta kepada Rasulullah saw. Tanda kenal, cinta. Tanda cinta, ingat. Dan tanda ingat, banyak menyebut… Semakin banyak ingatan, semakin banyka pula sebutan. Dan di situlah signifikannya selawat!

Ya, semoga Allah berikan hati yang sentiasa ingat kepada Rasulullah saw lalu kita mampu berselawat ke atas baginda – sebagai tanda kasih, tanda cinta kepadanya. Tidak cukup jika berselawat pada Hari Keputeraannya atau membacanya hanya ketika dalam tahiyyat awal atau akhir, sebaliknya jadikan ia basahan lidah setiap masa – gembira atau berduka, ketika ramai atau bersendirian, siang mahupun malam.

Sebenarnya, bukan sahaja manusia dituntut berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, malah Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas baginda. Pujian daripada Allah dan para malaikat ini justeru ketinggian akhlak dan keperibadian baginda.

Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna-sempurna salam.”
(Al-Ahzab 56)

Bayangkan, tanpa Rasululah alam ini tidak akan diberkati. Kedatangannya adalah untuk memberi rahmat untuk alam ini. Alam itu gelap gelita, Rasulullah adalah penerang kepada penghuni-penghuni dunia. Kata bijak pandai, dunia tidak akan aman, selagi manusia yang menghuni di atasnya tidak berakhlak. Dan inilah misi utama kedatangan Rasulullah SAW yakni memberi rahmat kepada alam dengan berusaha memperbaiki akhlak manusia.

Firman Allah:
“Dan tidak diutuskan (nabi Muhammad SAW) melainkan untuk memberi rahmat buat sekelian alam.”

Rahmat kedatangan Rasulullah ini adalah dalam bentuk akhlak yang paling murni untuk dipelajari dan diteladani oleh semua manusia. Ini ditegaskan sendiri oleh sabda baginda:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.”

Tanpa Rasulullah tidak akan ada kasih-sayang sejati dikalangan manusia. Ibu-bapa tidak akan dihormati, anak-anak tidak akan disayangi, kaum wanita tidak akan dilindungi, yang miskin tidak akan dibela, yang kaya tidak akan pemurah, yang berkuasa tidak akan adil, yang diperintah tidak akan taat. Cara hidup Jahiliyah yang serba kejam, hina dan kucar-kacir akan terus bermaharajalela. Namun kedatangan baginda telah memberhentikan semua itu.

Baginda berjuang bermula dengan seorang diri. Diseru kaum keluarga terdekat dan sahabat terapat. Daripada Siti Khadijah, kemudian Sayidina Ali serta Sayidina Abu Bakar… Sedikit demi sedikit. Dan 23 tahun kemudian, ada lebih 124,000 para sahabatnya yang bertebaran di Makkah, Madinah dan seluruh jaziratul Arab. Baginda rela kehilangan apa sahaja demi menyelamatkan umatnya daripada kejahilan dan kesyirikan. Daripada cacian, dihalau hinggalah ancaman bunuh – semuanya telah baginda lalui demi perjuangan yang suci.

Jika pada hari ini kita memuja pemimpin yang berjasa… maka siapakah pemimpin yang lebih besar jasanya daripada Rasulullah SAW? Bagindalah yang telah membebaskan kita daripada kesempitan hidup dunia untuk menikmati kelapangan hidup di akhirat. Baginda jualah yang membebaskan kita daripada penghambaan sesama manusia untuk menjadi hamba keoada Allah. Baginda yang mengeluarkan kita daripada ksempitan dunia untuk menuju kelapangan akhirat.

Soalnya, bagaimana kita memperingati jasa-jasanya itu?

Ya, kita mesti berselawat ke atas baginda. Kelebihan solawat telah banyak kita dengar. Namun apakah yang Allah swt benar-benar inginkan daripada selawat kita? Allah swt inginkan supaya hubungan kita dengan Rasulullah swt adalah berterusan. Oleh sebab itu kalimah, “Asyhaduallah ila ha illallah.”diikuti kemudiannya dengan kalimah “wa ashaduanna Muhammadar Rasulullah”. Apabila kita menyebut kalimah ini, rasakan diri kita adalah hamba Allah, lalu seterusnya perlu kita tanyakan bagaimanakah caranya hendak menjadi hamba Allah yang sebenar?

Lalu menyusul pengertian kalimah keduanya: “Wa asyhadu anna muhammadar Rasulullah.” Iaitu dengan mencontohi Rasulullah saw. Bagindalah individu yang pada setiap masa merasakan dirinya hamba. Ketika menjadi seorang ayah, seorang jeneral, seorang Nabi, malah sebagai pemimpin, baginda tetap merasakan diri sebagai hamba kepada Tuhannya.

Bagaimana rasa diri hamba? Ya, umpama seorang hamba, tentu dirinya tidak layak melakukan sesuatu sesuka hati. Apa yang dilakukan mesti mengikut arahan majikan atau tuannya. Jadi dengan amalan selawat ini, kita berharap menjadi hamba Allah setiap masa,di setiap tempat dan setiap ketika. Maka dengan itu bererti hubungan kita dengan Rasulullah juga adalah hubungan yang berterusan. Sebab kita hendak jadikan Rasulullah ini sebagai teladan bagaimana menjadi hamba Allah sebenar pada setiap masa dan ketika.

Allah swt bukan sahaja menurunkan Islam dalam bentuk ilmu dan ilmiah. Dia juga turunkan Islam dalam bentuk amaliah atau praktiknya, yakni melalui Rasulullah. Jadi Al-Quran itulah dalam bentuk ilmu, Rasulullah itu pula mempraktikkan isi Al-Quran. Jadi inilah yang Siti Aisyah katakan, jika kamu ingin melihat Al-Quran hidup, maka tengoklah peribadi baginda dalam kehidupan seharian. Dan bagi kita umat Islam akhir zaman ini… tidak ada jalan lain untuk ‘melihat’ keperibadian Rasulullah selain melihat sejarah hidup Rasulullah SAW.

Peri pentingnya sirah Rasulullah, ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
“Didiklah anak-anak kamu tiga perkara: Kecintaan kepada nabi kamu, kecintaan kepada keluarga baginda dan membaca Al Quran.”

Justeru, generasi Salafussoleh begitu bersemangat mengajarkan anak-anak mereka tentang sirah Nabi Muhammad SAW sehingga diseiringkan dengan pengajaran Al quran. Sebab sirah merupakan penterjemah makna-makna Al Quran secara praktikal. Imam Zainul Abidin bin Husin bin Ali RA berkata:
“Kami mengetahui soal perang-perang Rasulullah SAW sebagaimana kami mengetahui surah-surah yang ada dalam Al Quran.”

Mudahkan mencintai atau mencontohi Rasulullah?

Kita tidak pernah berjumpa Rasulullah. Kita hanya mendengar kisah kehebatan iman dan akhlak baginda sejak di bangku sekolah. Jadi, bagaimana hendak menyemai cinta kepada Nabi Muhammad SAW?

Menerima seruan dan dakwah Nabi Muhammad SAW.
Apa yang telah disampaikan oleh rasulullah kita terima dan kita terus laksanakan. Semakin cepat kita menunaikan seruannya maka semakin bertambah kecintaan kita terhadapnya. Sayidina Ali misalnya, telah menerima seruan dakwah Rasulullah tanpa harus berbincang terlebih dahulu dengan sesiapapun, hatta ayah-ibunya sendiri.

Tidak ada gunanya mengaku cinta kalau tidak dibuktikan dengan perbuatan. Kata cinta, tetapi sunnah baginda kita cerca atau pinggirkan. Malangnya, inilah sikap kebanyakan umat Islam kini. Mengaku cinta, tetapi bergaul bebas, mendedahkan aurat, makan riba, minum arak, menipu, rasuah. Baginda sangat bencikan riba, tetapi ada dikalangan umat Islam yang masih mengamalkan riba.

Mencintai apa yang dicintai Nabi.
Apa sahaja yang dicintai oleh nabi Muhammad SAW dari segi cara hidupnya – cara solat, puasa, mentadbir, menguruskan perniagaan, mengatur rumahtangga, makan, minum, pakaian sehingga cara baginda masuk tandas – akan kita teladani.

Membenci siapa yang membenci nabi.
Siapa sahaja yang memperleceh-lecehkan kedudukan nabi Muhammad adalah musuh kita. Kita tidak akan berkawan apalagi bersahabat dengan mereka yang terang-terangan menghina nabi Muhammad SAW. Tidak kira mereka itu kaya, berkuasa atau ternama sekalipun. Siapa yang membenci Rasulullah itulah musuh kita.

Sebab itu umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya Nabi Muhammad diperlecehkan melalui lukisan, tulisan atau kata-kata.

Menjaga hadis-hadis Nabi.
Maksud menjaga hadis di sini ialah dengan menghafaz dan mengamalkannya. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Samurah bin Jundub RA bahawa dia berkata:
“Di zaman Nabi, aku adalah seorang anak kecil, namun aku turut pula menghafaz hadis dari baginda, sedangkan orang-orang di sekelilingku semuanya lebih tua dariku.”

Ibarat seorang yang sedang bercinta. Kebiasaannya seseorang itu akan mengikut atau menyebut-nyebut nama orang yang dicintainya. Dia mesti mempunyai rasa suka atau cinta kepada orang itu.Kemudian rasa cinta itu dilahirkan dalam tindakan. Jadi cinta pada Rasulullah itu bukanlah semata-mata dengan kata, tetapi dengan tindakan. Oleh itu, dalam kehidupan ini, setiap tindakan mestilah menunjukkan kecintaan kepada Rasululah. Misalnya, acara mencukur rambut bayi dan kenduri aqiqah.

Majlis Aqiqah dan mencukur rambut diraikan ibu dan ayah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Ia adalah sunnah Rasulullah yang mulia. Ketika anak Rasulullah iaitu Fatimah az-Zahra melahirkan Hassan, Nabi pun berkata:
“Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya. Kemudian bersedekahlah dengan mengeluarkan perak seberat timbangan rambutnya.”

Seorang ulama Syeikh Dahlawi Rahimullah mengulas tentang hadis di atas dengan katanya:
“Sesungguhnya anak itu jika telah berpindah dari janin menjadi bayi merupakan sebuah nikmat yang wajib disyukuri, Bentuk kesyukuran yang terbaik adalah dengan menggantikannya. Mengingatkan bahawa rambut bayi merupakan bahagian dari perkembangan janin, dan menghilangkannya merupakan petanda kemerdekaannya menuju perkembangan sebagai anak, maka seharusnya bila rambut itu ditimbang (nilai) dengan perak.”

Setelah ditimbang, berat rambut Hassan adalah sedirham. Sedirham itulah disedekahkan. Kita mungkin antara bayi-bayi kecil satu ketika dulu didendang dengan selawat dan marhaban. Jika anak itu lelaki, diberikan permulaan nama “Muhammad” – Muhammad Rasul, Muhammad Taufik, Muhammad… supaya mendapat keberkatan Allah swt. Lebih-lebih lagi ayah dan ibu mengimpikan anaknya nanti membesar dan mencontohi akhlak Nabi Muhammad saw.

Sabda Rasulullah SAW:
“Namakanlah anak-anakmu dengan nama-nama para Nabi. Sedangkan nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman dan nama yang paling benar adalah Harith dan Hamman, sedangkan nama yang paling buruk adalah Harb dan Murrah.”

Apabila anak lelaki sudah membesar, diadakan pula majlis berkhatan yang juga diiringi dengan selawat dan puji-pujian membesarkan Allah. Sesetengah masyarakat setempat mengadakan acara tambahan bagi meraikan atau menyemarakkan semangat kanak-kanak. Antaranya acara mandi beramai-ramai di sungai, berarak sambil didukung atas bahu bapa sendiri dan sebagainya. Semuanya dengan tujuan untuk menggembirakan hati anak-anak yang akan berkhatan.

Berkhatan sebenarnya satu perintah. Nabi saw pernah bersabda:
“Termasuk fitrah (kesucian) adalah berkumur, menghirup air ke dalam hidung (ketika berwuduk), mencukur misai, bersiwak, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut kemaluan dan berkhitan.”

Apabila usia meningkat remaja, teringin pula berumahtangga. Majlis pernikahan diatur. Termeterailah ikatan janji untuk berkasih dan bercinta selama-lamanya dengan iringan syahadah dan selawat. Ketika itu, kedua-dua pengantin berharap dapat hidup sebagai suami isteri yang bahagia dan harmoni. Rasulullah SAW bersabda:
“Yang lebih utama lagi ialah lidah yang berzikir, hati yang bersyukur dan isteri yang solehah yang akan membantu seorang mukmin untuk memelihara keimanannya.”

Jika rumahtangga mencontohi rumahtangga Rasulullah, kehidupan akan dipenuhi kebahagiaan dan keberkatan. Sabda Rasulullah SAW:
“Mahukah aku beritahukan sesuatu yang dapat dijadikan sebagai harta simpanan seseorang? Iaitu isteri yang solehah. Jika seorang suami memandangnya, dia membuatnya gembira jika ia memerintahkannya, dia mematuhi, dan jika dia pergi, maka dia akan selalu menjaganya.”
Sebaliknya jika kehidupan rumahtangga tidak dipandu iman, kehidupan bagaikan neraka dunia sebelum ke neraka sebenarnya.

Sehinggalah apabila kita mati, kita diajar bagaimana bertalkin di dalam bersolawat untuk Rasulullah. Terbuktilah setiap kehidupan kita dari sejak lahir sehingga kini mesti berhubung dengan Rasulullah saw. Oleh kerana itu jadikanlah berselawat itu teman dalam kehidupan kita.

Kelebihan bersolawat

Pengalaman kita, doa akan cepat dimakbulkan apabila kita memulai dengan berselawat. Kita akan dapat ketenangan hati. Menyebut nama orang soleh (dalam konteks ini Rasulullah SAW) akan mendatangkan rahmat. Dan yang paling penting ialah dengan bersolawat kita dapat keberkatan dan syafaat. Berselawat adalah sumber kepada syafaat. Syafaat Nabi di akhirat nanti terdapat 5 jenis:

• syafaat untuk membebaskan umat manusia daripada dahsyatnya suasana di Padang Mahsyar
• syafaat untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa sebarang hisab atau perhitungan
• syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukuman setimpal, supaya hukuman itu kemudian ditarikbalik.
• Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka
• Syafaat untuk menaiki ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.
• Mendapat keberkatan hidup. Apabila kita menyebut nama orang-orang soleh, ia mendatangkan rahmat. Rahmat itu bermakna keberkatan..dan keberkatan itu ertinya kelebihan.

Keberkatan yang sangat diharapkan ialah keberkatan dari segi rezeki. Kedua, dari segi umur kita, ketiga daripada usaha kita dan keempat, dari segi ilmu. Ini bermakna walaupun ada masanya kita hanya mendapat ‘sedikit’ tetapi dengan keberkatan, insya-Allah, yang sedikit itu adan mencukupi. Misalnya, umur walaupun pendek tapi banyak bakti dan jasanya. Inilah yang terjadi kepada Imam Nawawi, Imam Syafie dan Umar Ibn Aziz.

Jumlah kitab karangan Imam Nawawi misalnya, tidak sepadan dengan umurnya. Usianya hanya sekadar 40 an tetapi beliau sangat produktif. Begitu juga Umar Ibn Aziz, yang hanya sempat menjadi khalifah selama 2 tahun tetapi tempoh pendek itu dipenuhi dengan kecemerlangan yang tidak dapat ditandingi oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah yang lain. Inilah pentingnya mendapat ‘umur’ yang berkat.

Manakala ilmu yang berkat pula ialah ilmu yang mampu menyuluh kelemahan diri, menyuluh kebesaran Allah dan menambah amalan soleh kita. Rezki yang berkat pula akan menjadi sumber kekuatan untuk melaksanakan ketaatan, baik ketaatan kepada Allah mahupun khidmat sesama manusia.

Inilah peri pentingnya kita berselawat sebelum berdoa.Tanpa berselawat sekaligus putus hubungan dengan Allah. Bila hubungan kita putus dengan Allah, berbagai-bagai kesusahan akan berlaku. Yang paling kita takuti, hilang keberkatan dalam hidup. Ini akan menyebabkan rezeki kita walaupun banyak tetapi masih tidak cukup-cukup malah melalaikan kita pula.

Umur kita mungkin panjang tapi sayangnya sarat pula dengan dosa. Usaha kita mungkin banyak, tapi tidak dapat meraih kejayaan. Ilmu pun mungkin banyak, tapi menyebabkan kita lalai dan derhaka kepadaNya. Makin tinggi ilmu, semakin ego. Jadi, marilah kita banyak berselawat, justeru ia adalah sumber keberkatan dalam kehidupan!

http://genta-rasa.com

Would you be my valentine??

Posted by magical_fingers On February - 11 - 2010 ADD COMMENTS
TEKS KHUTBAH : VALENTINE’S DAY BERCANGGAH DENGAN ISLAM

إن الحمد لله ، نحمده ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له . ومن يضلله فلا هادي له . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن سيدنا محمداً عبده ورسوله . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ سيدنا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ ومن تبعه ووالاه .

أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Wahai kaum Muslimin sekelian !

Adalah menjadi tabiat semula jadi manusia suka dikasihi dan mengasihi antara satu sama lain. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri menyeru umatnya agar saling berkasih sayang sesama Islam, sebagaimana hadis Baginda,

لايؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

maksudnya:”Dari Annas Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Dalam hal ini, biarlah kasih sayang kita orang-orang Islam dilakukan mengikut garis pandu yang telah disyariatkan dan bukan terikut-ikut atau meniru dengan cara yang diamalkan oleh orang-orang bukan beragama Islam. Sebagai contoh, salah satu acara keagamaan bukan islam yang telah menjadi ikutan segelintir umat Islam terutamanya golongan remaja ialah merayakan ‘valentine’s day’ atau hari kekasih pada setiap 14 Februari. Apa yang lebih mendukacitakan, orang kita terikut-ikut merayakan hari kekasih ini tanpa menyelidiki asal usul perayaan ini diadakan, adakah ia dibolehkan oleh Islam atau tidak.
mengikut-ikut secara membuta tuli , atau tanpa mengetahui asal-usulnya adalah satu bencana yang boleh membinasakan dan menyesatkan umat islam. firman Allah :
“dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya.”
Malah jika panduan atau ukuran sesuatu amalan kita , hanyalah berpandu kepada ; ramai orang yang melakukan atau majority orang yang melaksanakan, maka kita pun mengikuti perbuatan mereka tanpa mengetahui secara ilmiah apakah benar atau pun tidak , boleh atau pun tidak , halal atau pun tidak ; maka tindakan tersebut akan membawa kita ke lembah kesesatan dan kebinasaan, firman Allah Taala :
“dan jika Engkau (hanya) menurut (perbuatan) kebanyakan orang Yang ada di muka bumi ini (tanpa mempunyai ilmu tentangnya) , nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka ikut2 itu (orang2 Kuffar) melainkan hanyalah sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta semata-mata.”

Wahai kaum Muslimin sekelian !

Apakah anda telah mengetahui tentang asal-usul sambutan valentine’s day itu ?
Terdapat beberapa definisi yang terdapat di dalam buku-buku enseklopedia America dab Britain untuk menjelaskan tentang hari valentine ini.
Pertama: Encyclopedia Americana, volume 27, halaman 860

A day on which lovers traditionally exchange affectionate messages and gift. It is ovserved on February 14, the date on which Saint Valentine was matyred. (The)
“Sebuah hari dimana orang-orang yang sedang dilanda cinta secara tradisi saling mengirimkan pesanan-pesanan cinta dan hadiah-hadiah. Hari itu diperingati pada tanggal 14 Februari, suatu hari di mana St. Valentine mengalami martir (dihukum bunuh sebagai pejuang agama kristian- atau di dalam Islam disebut sebagai mati shahid).”
Kedua: Encyclopedia Americana, volume 13, hal. 464

The date on the modern celebration, February 14, is believed to derive in the execution of a Christian martyr, St. Valentine, on February 14, 270.
“Tanggal 14 Februari adalah perayaan modern yang diyakini berasal dari hari dihukum matinya seorang martir Kristen yaitu St. Valentine pada tanggal 14 Februari 270 M.”
Ketiga: (Everyman’s Encyclopedia, volume 12, hal 388).

Valentine, St. priest and physician of Rome who suffered martydorn probably during the persecution under Claudius II in 269. his feast is on 14 Feb. The custom of sending valentines probably had its origin in a heathen practice connected with the worship of Juno Februalis at the Lupercalia(*) or perhaps in the mediaval belief the birds commenced to mate onf 14 Feb.
“St. Valentine adalah seorang pendeta dan tabib dari Roma yang (dianggap) martir (korban) sewaktu kaisar Claudius II pada tahun 269 M. Peringatan tersebut pada tanggal 14 Febuari. Kebiasaan dengan mengirim ucapan valentine-valentine berasal dari upacara penyembahan berhala yang dikaitkan dengan peribadatan Juno Februarlis di goa Lupercal,”
(*) Lupercalia merupakan upacara keagamaan (ritual) yang dilakukan oleh orang-orang Romawi kuno yang dilaksanakan setiap tahun untuk menyembah dewa Lupercus, yang mana mereka dianggap sebagai dewa kesuburan, dewa padang rumput dan pelindung ternak. upacara ini dilaksanakan pada setiap 15 Februari . Tetapi pada tahun 496 M, setelah Kaisar Romawi menganut kristian , Paus Gelasius I mengubah tarikh perayaan ini, yang berasal dari upacara ritual lupercalia (di dalam agama romawi) ke tarikh 14 Februari. mengambil sempena hari kematian orang yang sangat dikasihi oleh penganut kristian iaitu st Valentine.

Keempat :
(Encyclopedia Briatannica, volume 14, hal. 949).

The St. Valentine who is spoken of as the apostle of Rhaetia, and venerated in passau as its first bishop.
“St. Valentine yang disebutkan itu adalah seorang utusan dari Rhaetia dan dimuliakan di Passau sebagai uskup yang pertama.”

Sidang hadirin yang dirahmati Allah

Kesimpulan dari keempat-empat definisi tersebut adalah Valentine’s day dirayakan untuk mengenang , memuja atau mendewakan st. Valentine yang dianggap mati suci sebagai pahlawan (atau seolah-olah istilah mati shahid di dalam agama islam).
Dia dihukum bunuh, pada tanggal 14 Februari 269 M (sumber lain menyebutkan 270 M) ketika pemerintahan raja Rom Claudius II , kerana giat menyebarkan agama Kristian Darum di kalangan Masyarakat Rom. Pada masa pemerintahannya, Claudius II memenjarakan orang-orang Kristian termasuklah Valentine kerana beliau seorang penyebar agama Kristian.
Walaupun berada dalam penjara, Valentine tetap berusaha mengajar dan menyebarkan agama Kristian tersebut di kalangan banduan-banduan penjara, di samping membantu tawanan-tawanan penjara melepaskan diri dari penjara serta sanggup berkorban dan mati demi kasih sayang terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Kegiatan ini telah diketahui oleh raja Rom menyebabkan beliau diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada tanggal 14 Februari.
Bagi penganut Kristian, valentine adalah lambang kasih sayang sejati di antara seorang hamba dengan tuhannya dan dengan sesama manusia. Maka itulah punca orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka Valentine.
Berdasarkan penerangan tadi, adalah jelas menunjukkan bahawa istilah hari kekasih atau valentine’s day bukanlah perayaan yang disyariatkan di dalam agama Islam. Oleh yang demikian orang-orang Islam adalah dilarang untuk menyambut dan merayakannya. kerana hari itu adalah asal-usulnya hari mengenang kematian paderi itu yang amat menyayangi agama mereka. Seterusnya dilabel kan sebagai hari kasih sayang . atau sebenarnya kasih sayang itu adalah terhadap st Valentine.
be_my_valentine_button
mahu jadi st. valentine???

Wahai kaum muslimin rahimakumllah !

Sememangnya agama Islam menggalakkan umatnya hidup berkasih sayang dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Islam, untuk sepanjang masa bukan hanya ditetapkan dalam masa atau hari yang tertentu sahaja.
Berkasih sayang dalam Islam bukanlah dengan bergaul bebas lelaki perempuan tanpa sempadan dan melanggar hukum syarak, apatah lagi sehingga membawa kepada berlakunya maksiat dan kemungkaran seperti zina.
Islam adalah agama yang praktikal, bukan mengongkong, bahkan Islam agama yang menjaga dan memelihara kehidupan umatnya supaya lebih sempurna dan harmoni. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang di antara umatnya…. Firman Allah di dalam Surah Aali Imran ayat 31:
Maksudnya : “Katakanlah jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (Rasulullah SAW), nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.”
Adalah Haram malah boleh membahayakan Aqidah Islam , jika kita mengikuti ajaran atau amalan agama-agama lain , atau memuja-muja dan menyanjung-nyanjung tokoh-tokoh keagamaan mereka, atau membesar-besarkan hari keagamaan mereka atau lambang-lambang keagamaan mereka dan seumpamanya.
Perbuatan begini seolah-olah menganggap agama islam masih tidak sempurna sehinggakan perlu ditambahbaik oleh amalan-amalan dari agama lain.
· Firman Allah di dalam Surah al-Maaidah ayat 3:
Maksudnya : “pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”
· Firman Allah di dalam Surah Aali Imran ayat 85:
Maksudnya : “dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.”
· Sabda Nabi SAW :

من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya “Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama mereka) maka dia (dianggap) termasuk kaum (agama mereka) itu”.
Para Hadirin yang dirahmati Allah Taala !

Sudah jelas kepada kita! Apapun alasannya, kita tidak dapat menerima acara keagamaan atau kebudayaan import dari luar yang nyata-nyata bertentangan dengan keyakinan (akidah) kita. Janganlah kita mengotori akidah kita dengan berdalih toleransi dan setia kawan. Kerana kalau dikata toleransi, Islamlah yang paling toleransi di dunia.
Sudah berapa jauhkah kita mengayunkan langkah mengalu-alukan dan memuja-muja Valentine’s Day ? Bermula dari saat ini , hendaklah kita sedar dan kembali ke pangkal jalan yang sebenarnya, agar jangan sampai terperosok lebih jauh lagi. Tidak perlu kita irihati dan cemburu dengan upacara dan bentuk kasih sayang agama lain. Bukankah Allah itu Ar Rahman dan Ar Rohim (Maha Penyayang lagi Maha Mengasihi). Kasih sayang di dalam Islam lebih luas dari semua itu. Bahkan Islam itu merupakan penyelamat di kala manusia gagal dengan sistem-sistem dan teori-teori ciptaan manusia sendiri.
Istiqomah lah , yakni berpegang teguhlah kepada Agama Allah . Tinggalkanlah pegangan-pegangan agama yang terpesong lagi sesat :
· Firman Allah Taala di dalam Surah al-Baqarah ayat 256:
Maksudnya : “Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang mengingkari (tidak mempercayai) Taghut , dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya dia (sebenarnya) telah berpegang teguh kepada simpulan tali (Agama Allah) Yang sangat teguh lagi tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”
· Firman Allah Taala di dalam Surah al-Baqarah ayat 145 :
“Demi sesungguhnya! kalau Engkau masih mahu menurut kehendak hawa nafsu mereka (orang kafir) setelah datang kepadamu ilmu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), Sesungguhnya dengan (perbuatan kamu yang mengikut-ikut acara mereka itu), Sesungguhnya engkau adalah dari golongan orang-orang Yang zalim”
Tidak hairan lah kita , mengapa perayaan dan sambutan yang dianjurkan oleh puak puak Yahudi Laknatullah dan adat-adat resam agama lain, suka dan mudah diikuti oleh umat islam walaupun boleh meruntuhkan iman dan agama kita. Sebut apa sahaja perayaan yang ditajai mereka. Pastinya mendapat respon yang baik di kalangan umat islam yang jahil tentang agama nya . Pesta menyambut tahun baru masihi , sambutan April fool , Pesta rock Woodstock , Pesta Seks , pesta Prom dikalangan remaja sekolahan dan bermacam macam pesta lagi. Semuanya menjurus kepada perkara maksiat, kebinasaan malah menghancurkan aqidah islam , merosakkan krediabiliti bangsa ketimuran dan akan merosakkan keutuhan sesebuah negara . Namun pesta seumpama inilah yang menjadi ikutan dan kegilaan anak anak muda kita di zaman ini. renunglah sabda Nabi SAW :

لتتبعن سنن من كان قبلكم ، شبرا بشبر، وذراعا بذراع، حتى لو دخلوا جحر ضب لتبعتموهم قالوا: يا رسول الله: اليهود والنصارى؟؟!! قال: ( فمن؟)…أخرجه البخاري

Maksudnya : “Pasti kamu akan mengikut acara-acara orang-orang yang terdahulu dari kamu , sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta , sehinggakan sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun , pasti kamu akan tertarik mengikut mereka itu . Para Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah (yang engkau maksudkan itu) adakah Yahudi dan Nasara . Baginda bersabda : maka siapa lagi (kalau bukan mereka itu)”
· Firman Allah Taala di dalam Surah al-Baqarah ayat 120 :
“orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau sanggup menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam) itulah petunjuk Yang benar”. dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan (yang benar) kepadamu , maka Engkau tidak akan dapat bantuan dan pertolongan sedikit pun daripada Allah SWT”
Wallahualam…
Sumber : http://alfalahusj9.blogspot.com/2009/02/blog-post.html